Seorang kawan yang baik adalah kawan yang boleh menerima kita apa adanya. Walaupun terdapat perbezaan antara seorang sahabat dengan sahabat yang lain, namun itu bukanlah alasan untuk kita membina sebuah tembok pemisah dalam persahabatan. Tetapi tidak dinafikan jika persamaan itu lebih senang dikongsi dalam membina keserasian yang baik.
Arakian, sebuah persahabatan yang baik itu adalah apabila kita sama-sama dapat bertoleransi dengan perbezaan yang ada. Tidak kiralah apa jenis pun perbezaan itu baik citarasa, filem yang digemari, ataupun lebih besar lagi pandangan politik seseorang.
Ya bercakap tentang politik, pegangan hidup, perbezaan pendapat dan persahabatan mengingatkan saya pada satu kisah di taman perumahan saya suatu ketika dahulu semasa Hari Raya Korban. Si kelompok A adalah orang yang menganggotai khairiyah taman saya manakala si kelompok B ini adalah orang yang mempunyai lembu dan mahu minta disembelihkan. Entah apa salah paham politik yang berlaku, sampaikan Si kelompok A enggan menyembelihkan binatang si kelompok B. Bayangkan, di hari di mana kita mengingati peristiwa Nabi Ibrahim a.s yang sanggup berkorban nyawa anaknya sendiri sebagai mematuhi arahan daripada Allah swt, ada juga saudara semuslim kita yang masih bingung dengan konsep KORBAN itu sendiri.
Saya tidak menyebelahi mana-mana pihak di sini, tapi alangkah baiknya jika perbezaan ideologi politik yang ada antara dua kelompok sama-sama dihormati dan persamaan yang ada kita junjungi dan julangi. Kita harus ingat bahawa setiap umat islam itu bersaudara, baik UMNO-kah dia, PAS-kah dia maupun PKR-kah dia. Kita masih berpegang pada satu akidah yang sama. Jangan sampai kita membenarkan yang batil dan membatilkan yang benar.
Sepanjang saya bersahabat, saya belum pernah lagi mempunyai masalah dengan sahabat mempunyai prinsip hidup mahupun ideologi politik yang berbeza. Saya akui bahawa setiap orang mempunyai perspektif yang berbeza dalam menilai sesuatu perkara. Kita tidak boleh memaksa seseorang berfikir seperti cara kita berfikir.
Bagi saya jalan yang terbaik untuk meredakan perbezaan adalah dengan tidak membangkitkan perbezaan yang kita ada untuk diperdebatkan. Toleransi juga adalah kunci yang terbaik dalam memelihara silaturrahim yang berpanjangan.
::Wan Mastura::
0 comments:
Post a Comment