APA ITU PPSMI?
PPSMI adalah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Dasar ini telah diwujudkan oleh TDM (Tun Dr Mahathir) pada tahun 2002. Tujuan dasar ini digubal adalah untuk memantapkan lagi penggunaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat Malaysia.
KENAPA PPSMI HARUS DIMANSUHKAN?
Kerajaan telah mengambil keputusan untuk memansuhkan dasar ini secara berperingkat. sehingga tahun 2012.
Tujuan asal dasar ini dijalankan pada pendapat saya adalah tidak relevan. Bagaimanakah mutu bahasa Inggeris(BI) boleh dipertingkatkan hanya dengan mengajarkannya di dalam subjek matematik dan sains? Sedangkan Matematik itu adalah bahasa simbol. Terdapat pelbagai cara lain yang boleh dilaksanakan untuk meningkatkan mutu penggunaan BI tetapi PPSMI sudah tentu bukan jawapannya.
PPSMI adalah salah satu punca kegagalan bagi ramai pelajar yang kurang menguasai BI terutamanya bagi pelajar di kampung-kampung. Mungkin mudah bagi pelajar di bandar untuk lebih memahami BI berbanding yang tinggal di kampung. Jadi adalah tidak adil bagi mereka yang kurang cekap dalam BI. Mereka akan ketinggalan sedangkan mereka berpotensi untuk lebih berjaya dalam subjek Matematik dan Sains. Saya pernah diminta untuk membantu seorang adik untuk lebih memahami matematik dan sains. Alangkah terkejut saya apabila dia memberitahu dia tidak memahami soalan matematik yang ditanya kerana dia kurang pandai/faham BI. Apabila saya cuba menerangkannya dalam bahasa Melayu barulah dia mengerti. Begitu juga untuk subjek sains. Inilah contoh kegagalan PPSMI. Seorang pelajar yang mempunyai potensi tetapi terbantut potensinya akibat dasar ini. Bayangkanlah hal ini berlaku kepada pelajar-pelajar di kampung. Mereka tidak mempunyai wang yang cukup untuk ke pusat tuisyen atau mendapatkan bantuan tambahan.
Penguasaan BI boleh dipertingkatkan dengan mengajarkan BI dengan lebih intensif dan efektif. Guru-guru lepasan luar negara yang mengambil jurusan TESL (Teaching English as Second Language) boleh diminta untuk mengajar anak-anak di pedalaman. Pendedahan media terhadap pemantapan BI adalah salah satu cara. Sewaktu saya di sekolah menengah, akhbar "The Star" telah mengambil inisiatif yang sangat baik dengan mengadakan suatu kempen BI yang sangat berkesan. Kami dikehendaki membaca akhbar tersebut pada setiap hari dan mencari kosa kata yang baru. Kalau tidak silap kempen ini dibuat selama beberapa bualan. Pada akhir kempen tersebut, pelajar yang telah menyertai kempen tersebut dengan komited akan diberi habuan sekeping Pizza Hut Personal Pan untuk setiap seorang. Saya berasa sangat teruja dengan aktiviti itu dan ia benar-benar membantu saya untuk memperbaiki BI. Apa yang diperlukan adalah usaha pembelajaran dan pengajaran BI secara efektif.
PPSMI pada umumnya memburukkan lagi mutu penguasaan bahasa melayu(BM) di kalangan pelajar. Secara kasar, masih ramai pelajar yang mempunyai penguasaan BM yang rendah. Seorang pelajar melayu belum tentu dapat menguasai BM dengan baik. Buktinya ada di sekeliling anda jika anda benar-benar memerhati. Masyarakat Malaysia umumnya gemar mencampur adukkan BM dan BI sehingga ia melemahkan penguasaaan dalam kedua-dua bahasa. Hal ini disebabkan oleh banyak faktor dan antaranya adalah kurangnya minat membaca di kalangan muda-mudi dan media massa yang banyak menggunakan bahasa rojak. Dengan pemansuhan PPSMI ini dapatlah kita kembali memartabatkan penggunaan BM di kalangan pelajar terutamanya di sekolah.
Bahasa itu jati diri bangsa. Semoga perjuangan memartabatkan BM tidak terhenti dengan sekadar pemansuhan PPSMI. Pemerkasaan BI sebagai bahasa kedua juga harus dilaksanakan dengan efektif.
Nota kaki: Penulis juga tidak begitu menguasai BM dan masih banyak yang perlu dipelajari. Harap maaf jika struktur ayat tunggang-langgang. Maklumlah penulis banyak dipengaruhi oleh bahasa Indonesia.
@ Wan Mastura Haji Wan Musaludin @
0 comments:
Post a Comment