rss
twitter

Sejenak di PPUM



Hari ini, aku melawat ibu temanku di PPUM. Ibunya mengalami pendarahan dalam otak. Segala2nya berlaku sepantas kilat. Aku tidak pasti sama ada "subarachnoid hemorrhage" atau apa. Hati aku amat tersentuh apabila aku melangkah ke wad neurosains dan melihat ayah kawanku yang setia menanti isterinya. Menurut temanku, ayahnya pada mula tidak membenarkan ibunya menjalani pembedahan untuk memperbaiki pembuluh darah yang pecah itu, tapi temanku sebagai anak sulung bertegas untuk membenarkan ibunya menjalani pembedahan. Alasan ayahnya untuk tidak membenarkan adalah mudah, kerana doktor ingin memperbaiki saluran darah itu dengan "plate and screw". Ayahnya pernah melalui pembedahan pemasangan plate dan screw di kaki dan kesakitan yang ditanggung amat perit. Dia tidak mahu isterinya mengalami rasa sakit yang sama. MasyaAllah.. Besarnya CINTA seorang suami kepada isterinya. Namun, temanku tetap bertegas dan akhirnya ayahnya akur juga. Alhamdulillah. Pembedahan berjalan dengan lancar dan insyaAllah segalanya akan lebih mudah selepas ini.


Apa yang aku dapat dari masa dua jam aku melawat ibu temanku adalah pelbagai pengajaran.

1. Allah telah menunjukkan kekuasaan-Nya bahawa tiada apa yang lebih berkuasa selain dia. Segala2nya berlaku atas kehendak-Nya. Ibu temanku jatuh rebah dan terus tidak sedarkan diri hanya dalam beberapa detik perkara itu berlaku.

2. Mencari calon SUAMI yang BAIK itu PENTING. Biarpun sudah mempunyai anak seramai 7 orang--> "Sakitmu juga sakitku". Kata-kata yang bukan hanya dilafazkan sebelum kahwin tapi biarlah kata2 itu kekal sampai akhir hayat.

3. Didiklah ANAK dengan baik kerana didikan yang baik akan menghasilkan anak yang mampu menggalas tanggungjawab bila-bila masa ketika kita tidak lagi mampu membuat keputusan.


Aku berfikir tentang pelbagai kemungkinan. Gembira aku melihat temanku yang begitu dewasa dan matang dalam menggalas tanggungjawab sebesar itu dengan tenang.

Benarlah firman Allah swt dalam Surah Al-Baqarah Ayat 286:


"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".


Semoga ibu temanku cepat sembuh dan temanku dipermudahkan hidupnya. Amin...

0 comments:

Post a Comment