rss
twitter

Dari mata turun ke hati

Kisah yang bakal aku ceritakan ini berlaku kira-kira dua bulan yang lalu. Ketika itu aku dalam perjalanan pulang dari rumah tamu di universitas aku bersama dengan seorang teman satu kost(rumah yang mempunyai bilik sewa yang banyak).

Dalam perjalanan, dari jauh aku dapat melihat tiga orang kanak-kanak dengan pakaian seragam sekolah yang comot. Dua orang budak perempuan dan seorang lelaki. Budak perempuan itu sedang menggendong adik perempuan yang berusia sekitar 1 tahun dan memimpin tangan adik lelakinya yang berusia kira-kira 4 tahun.
Gambar 1: Pengemis di Indonesia

Aku cuma memandang mereka dari jauh kerana sememangnya kami berjalan agak jauh dari mereka. Sedang aku asyik memerhatikan mereka, entah bagaimana si budak perempuan itu tadi tergelincir dan menyebabkan dia dan bayi tadi itu terjatuh ke dalam longkang.
"Astaghfirullah.." jerit aku. Kawanku juga terperanjat. Beberapa orang "pak guard" yang berhampiran dengan mereka menerkam untuk menolong. Mujurlah ada yang membantu.

Apabila aku semakin menghampiri mereka. Barulah aku mengerti siapa mereka sebenarnya.
"Oh, peminta sedekah rupanya," bisikku perlahan. Patutlah merayau-rayau tanpa mak dan ayah. Baju yang mereka sarungkan itu adalah seragam sekolah yang telah buruk dan compang camping. Terharu benar aku melihat keadaan mereka. Tapi apakan daya sudah nasib mereka begitu. Digunakan untuk meraih simpati bagi mendapatkan hasil.

Ramai kanak-kanak di Indonesia yang menjadi mangsa kepada kezaliman ibu bapa mereka sendiri. Mereka dijadikan peminta sedekah. Walhal yang memperoleh keuntungan itu bukannya mereka tetapi orang tua mereka. Tidak kurang juga ada di antara bayi yang disewa kepada peminta sedekah untuk dijadikan objek simpati agar memperoleh sedekah yang lebih banyak. Alangkah kejam ibu bapa mereka. Anak yang masih kecil dan tidak mengerti apa-apa itu diperlakukan sedemikian rupa.

Aku teringat akan kata-kata Pak Chusnul Fathoni (dosen National Ideology ku).
" Kalaulah anak-anak yang dijadikan pengamen itu bisa berpikir dan protes, tentu saja udah lama orang tuanya dipenjara kerna jelas mereka melanggar HAM (Hak Asasi Manusia). Koq masa anak-anak yang tidak mengerti apa-apa itu disuruh kerja. Berdiri di tengah perempatan lagi. Sama asap mobil yang jelas bahaya. Terus kalau ditabrak gi mana".

Benar kata-kata beliau. Semuanya bisa diperkatakan di negara Indonesia ini. Namun, yang menjadi permasalahannya ialah perlaksanaan yang hampir mustahil dilakukan secara menyeluruh.
Memang mempergunakan kanak-kanak itu melanggar HAM tapi persoalan pangkalnya terletak pada pelanggaran HAM yang menyatakan bahawa setiap rakyat Indonesia itu berhak untuk hidup dan mempertahankan hidup. Perlanggaran HAM yang sebenar adalah oleh pemerintah yang mengamalkan KKN (korupsi, kolusi, nepotisme). Pemimpin menikmati hasil dan sedangkan rakyat menderita. Jurang ekonomi yang sangat luas dapat terlihat di sini.
Pernah aku melihat, seorang pak cik memunggah sampah semata-mata untuk mencari sisa-sisa makanan yang dibuang. Itulah survival seorang pengemis.

Berbalik kepada kanak-kanak yang dipaksa mengemis itu tadi, aku terkilan kerana kanak-kanak tidak seharusnya memikul beban untuk mencari rezeki. Mereka berhak menikmati kehidupan. Menikmati masa muda tanpa beban di bahu. Alangkah kasihan mereka.

Peristiwa pada hari itu membuatkan aku benar-benar insaf dan sedar. Betapa selama ini aku mendapat nikmat yang banyak, namun tidak pernah menyedarinya dan lupa untuk bersyukur.

Gambar 2: Anak buah tersayang


Benar.. Dari mata turun ke hati. Aku melihat dan hatiku tersentuh. Tidak dapat aku bayangkan sekiranya anak buah aku terpaksa berada dalam keadaan sebegitu.


@ Wan Mastura Haji Wan Musaludin @




0 comments:

Post a Comment