Kolonialisme Barat iaitu Portugis, Belanda dan Inggeris di Tanah Melayu serta Indonesia sejak abad ke-16 tidak banyak mengubah keadaan dari aspek bahasa dan adab resam masyarakat. Apa lagi agama Islam yang dianuti.
Mahu atau tidak, kuasa-kuasa Barat terpaksa menerima hakikat bahawa bahasa Melayu sebagai identiti orang Melayu tidak mungkin dapat dikikis dengan mudah.
Bahasa inilah yang kemudiannya muncul sebagai bahasa kebangsaan Malaysia selepas kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Ia termaktub kukuh dalam Perlembagaan negara berasaskan kepada sejarah sosiopolitik bahasa Melayu itu sendiri.
Berdasarkan Perlembagaan tersebut, bahasa Melayu tercatat dalam Fasal 152 Perlembagaan dan dalam Akta Bahasa Kebangsaan (1967/68). Ironinya, timbul persoalan sejauhmanakah dasar itu dilaksanakan secara telus terutama oleh sektor awam dan swasta.
Dalam dekad pertama kemerdekaan tanah air, muncul gerakan oleh pengarang-pengarang, pencinta dan pejuang-pejuang nasionalis Melayu tentang pentingnya peruntukan dalam Fasal 152 Perlembagaan 1957.
Ini kerana dalam tempoh itu, bahasa Inggeris masih kekal sebagai bahasa urusan rasmi kerajaan, di samping bahasa Melayu. Sebenarnya, yang akan diuji dalam tempoh itu ialah bahasa Melayu, bukan bahasa Inggeris.
Parlimen akan mengkaji semula sama ada bahasa Melayu akan dapat menjadi bahasa rasmi tunggal atau sebagai bahasa untuk digunakan dalam semua urusan rasmi kerajaan, menggantikan bahasa Inggeris.
Apabila Parlimen akhirnya bersidang dalam tahun 1967 untuk membincangkan Rang Undang-Undang Bahasa, beberapa banyak badan NGO Melayu berasa terperanjat terutama berkaitan dengan masa depan bahasa Melayu.
Keputusan yang dibuat menunjukkan bahasa Inggeris masih dikekalkan dalam beberapa bidang urusan rasmi kerajaan, terutama dalam bidang kehakiman.
Keputusan lain yang dibantah ialah keputusan untuk mengeluarkan notis-notis yang dianggap melanggar semangat dasar bahasa yang asal (yang diperuntukkan dalam Fasal 152 Perlembagaan 1957).
Bantahan dan kemarahan mengenai keputusan itu telah menyebabkan sembilan orang peguam Melayu juga telah menghantar memorandum bertajuk Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan 1967: Memorandum Hussein Onn.
Antara lain memorandum ini mengemukakan hujah bahawa Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan yang dibentangkan di Parlimen pada waktu itu tidak menggambarkan atau tidak melaksanakan matlamat yang terkandung dalam Fasal 152 Perlembagaan, iaitu tentang status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Keengganan kerajaan menolak keputusan yang dibuat di parlimen tersebut telah menyebabkan satu perhimpunan perhimpunan besar di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Ia dihadiri oleh kira-kira 1,500 orang peserta mewakili pelbagai pertubuhan, termasuk orang perseorangan, untuk membantah Rang Undang-Undang itu.
Kemudian sekumpulan aktivis bahasa Melayu mengadakan perarakan yang terkenal sebagai Perarakan Keranda 152. Mereka menuju ke kediaman Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dan Parlimen untuk menghantar memorandum bantahan.
Peristiwa Keranda 152 membangkitkan kesedaran kepada banyak pihak supaya tidak memperlekehkan bahasa kebangsaan. Natijahnya, bahasa Melayu mendapat kedudukan yang lebih baik dan terjamin (sehinggalah akhir-akhir ini apabila ia semakin layu dan terpencil sekali lagi).
(dipetik dari www.dbp.gov.my)
Panas dadamu membakar baju
Kita arak keranda 152
Ke tanah perkuburannya Parlimen
Sepuluh tanah nafas ini terhenti
Hari ini jangan lagi menyanyi
Sebentar lagi malam akan tiba
Tiap pintu dan jendela sudah dijaga
Bayang-bayang tidak bisa lewat jalan raya
Anak Melayu
Namamu telah diseru
Jawablah
Sebelum lidahmu jadi bisu
(USMAN AWANG 1969)
2 comments:
penggunaan ayat'di kalangan' - salah.
yg betul - 'dalam kalangan'
- Zizan, MAS -
Terima kasih. Saya akan membuat pembetulan pada artikel saya.
Post a Comment