Sedar, tidak sedar sudah hampir dua tahun saya belajar di Universiti yang terletak beratus batu dari negara tercinta, Malaysia. Dan selama itulah saya menyibukkan diri dengan aktiviti harian sebagai seorang pelajar perubatan dan pelbagai perkara lain: seperti hiburan dan sebagainya. Baru kali ini saya 'terluang' untuk berfikir sejenak dan bermuhasabah diri secara mendalam mengenai hidup saya selama dua tahun ini di perantauan.
Persoalan saya berkisar tentang kehidupan harian dan bagaimana saya mengisinya? Apa dakwah saya selama di sini dan apa sumbangan saya terhadap islam? Jawapan yang saya dapat dari renungan sejenak ini, tidaklah seindah yang diharapkan. Sudah lama rupanya saya dialpakan dengan kehidupan dunia. Sudah 2 tahun lamanya saya tidak memberatkan diri untuk bertanya akan khabar iman saya. "Ya Allah, ampunkan dosa hambaMu ini."
Saya bersyukur kerana hati kecil ini sempat berbicara sebelum saya dihanyutkan oleh kelalaian yang tidak bertepi. Hidup di perantauan tidak seindah yang disangka. Hanya diri kita yang mampu mengawal perilaku diri agar tidak terjebak dengan anasir-anasir yang sentiasa menghasut kita untuk melakukan kemungkaran dan kefasikan. Saya mempunyai ramai kawan di perantauan, dan setelah hampir dua tahun di perantauan, mereka bukan lagi siapa yang saya kenali dulu. Ada yang berubah ke arah kebaikan. Alhamdulillah. Dan tidak kurang juga yang berubah ke arah yang "kurang baik". Kurang baik di sini merujuk kepada, dari yang menutup aurat kepada tidak menutup aurat; dari menjaga pergaulan kepada pergaulan bebas; dari berakhlak mulia kepada seseorang yang kurang berakhlak; dan sebagainya.
BAGAIMANA INI BOLEH TERJADI? ADAKAH FAKTOR "DI NEGERI ORANG" MEMPENGARUHI PERUBAHAN MEREKA? MUNGKINKAH JUGA FAKTOR KAWAN?
Saya berfikir agak lama sambil menyelak-nyelak buku agama yang di bawa dari Malaysia(dan yang dipinjam dari sahabat), tapi baru kali ini saya membacanya. Astaghfirullah.
Saya bukanlah orang yang arif untuk membahaskan permasalahan ni. Saya tidak lain hanya cuba melontarkan idea dari sudut pandangan saya dan bukanlah secara terperinci. Ini hanyalah itu memperingatkan diri dari terjebak atau tergelincir dari landasan islam.
1. AKU dan IMAN
Bagi saya faktor yang mempengaruhi perubahan kepada kebaikan atau keburukan diri seseorang itu tidak lain tidak bukan datang dari diri individu itu sendiri. Tiada siapa yang mampu memaksa kita untuk melakukan perkara yang tidak kita kehendaki. Kitalah yang sebenarnya bertindak kejam kepada diri kita. Kita membenarkannya untuk berlaku. Mari kita jengah hubungan antara iman dan diri kita yang mampu menghalang kita dari terjebak dengan perkara yang tidak baik.
Iman dalam bahasa Arab (الإيمان) secara etimologis bererti 'percaya'. Perkataan iman (إيمان) diambil dari kata kerja 'aamana' (أمن) -- yukminu' (يؤمن) yang bererti 'percaya' atau 'membenarkan'. Perkataan iman yang bererti 'membenarkan' itu disebutkan dalam al-Quran, di antaranya dalam surah al-Taubah ayat 62 yang bermaksud: "Dia (Muhammad) itu membenarkan (mempercayai) kepada Allah dan membenarkan kepada para orang yang beriman."
Para sahabat dan ulama telah mendefinisikan istilah iman ini, antara lain, seperti diucapkan oleh:
Ali bin Abi Talib r.a. : "Iman itu ucapan dengan lidah dan kepercayaan yang benar dengan hati dan perbuatan dengan anggota."
Aisyah r.a. berkata: "Iman kepada Allah itu mengakui dengan lisan dan membenarkan dengan hati dan mengerjakan dengan anggota."
Imam al-Ghazali menguraikan makna iman: "Pengakuan dengan lidah (lisan) membenarkan pengakuan itu dengan hati dan mengamalkannya dengan rukun-rukun (anggota-anggota)."
Malu itu iman.
Sabda Rasulullah s.a.w :
“ Iman itu lebih dari tujuh puluh atau lebih dari enam puluh cabang yang paling afdal ialah kalimah Lailahaillallah dan yang paling rendah ialah membuang sesuatu yang bolehmenyakitkan dari jalan dan malu itu satu cabang dari iman.” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam hubungan sifat malu ini para ulamak telah mengatakan: “Sifat malu pada hakikatnya ialah suatu sifat yang mendorong seseorang meninggalkan perkara yang buruk dan menghalang beliau dari mencuaikan hak orang lain.”
Jadi kita boleh menyimpulkan bahawa perbuatan buruk itu boleh dihalang dan dibendung jika kita mempunyai sifat malu yang tinggi. Contohnya: jika kita seseorang yang menutup aurat, insyaallah kita tidak akan menyingkap aurat dengan mudah kepada yang bukan muhrim. Hal yang mendorong kita untuk mempertahankan diri dari membukanya itulah yang disebut dengan malu.
Iman bertambah dan berkurang
Iman bertambah dengan mengerjakan perintah Allah dan berkurang dengan kemaksiatan. Sesungguhnya kita seharusnya yang sentiasa menjaga dan menyuburkan iman itu supaya jika di saat iman kita berkurang, kita akan masih tetap di atas hukum-Nya.
...... dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka (karenanya) dan kepada Rabb-nyalah mereka bertawakal. [Al Anfal 2]
Dan apabila diturunkan sesuatu surat (yang memerintahkan kepada orang munafiq itu), "Berimanlah kamu kepada Allah dan berjihadlah beserta rasul-Nya", nescaya orang-orang yang sanggup diantara mereka meminta idzin kepadamu (untuk tidak berjihad) dan mereka berkata, "biarkanlah kami berada bersama orang-orang yang duduk." [At Taubah 86]
Dan diantara manusia ada orang yang menyembah Allah dengan berada di tepi; maka jika ia memperoleh kebajikan tetaplah ia dalam keadaan itu, dan jika ia ditimpa oleh suatu bencana, berbaliklah ia ke belakang. Rugilah ia di dunia maupun diakhirat. Yang demikian itu adalah kerugian yang nyata. [Al Hajj 11]
Dari Ibn Mas'ud radliyallaahu 'anhu bahwa Nabi shallalaahu ‘alayhi wa sallam bersabda, "Tidak ada seorang nabipun yang diutus oleh Allah kepada suatu umat sebelumku kecuali ia mempunyai pengikut atau shahabat dari umatnya yang mengambil sunnahnya dan mengikuti perintahnya. Lalu berlalulah setelah mereka generasi-generasi yang mengatakan apa yang tidak mereka kerjakan dan mengerjakan apa yang tidak diperintahkan. Maka, barangsiapa berjihad melawan mereka dengan tangannya maka dia adalah seorang yang beriman, barangsiapa berjihad melawan mereka dengan lisannya, dia adalah seorang yang beriman, barangsiapa yang berjihad melawan mereka dengan hatinya, maka dia adalah seorang yang beriman, dan setelah itu tidak ada Iman walaupun sebiji sawi. (HR. Muslim)
2. AKU dan SAHABAT
“Sebaik baik sahabat disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya” (H.R al-Hakim)
‘Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati..’
ALLAH SWT mencipta makhluk di atas muka bumi ini berpasang- pasangan. Begitu juga manusia, tidak akan hidup bersendirian. Kita tidak boleh lari dari berkawan dan menjadi kawan kepada seseorang. Jika ada manusia yang tidak suka berkawan atau melarang orang lain daripada berkawan, dia dianggap ganjil dan tidak memenuhi ciri-ciri sebagai seorang manusia yang normal.
Inilah antara hikmah, kenapa Allah SWT mencipta manusia daripada berbagai bangsa, warna kulit dan bahasa. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13, yang bermaksud:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan berpuak-puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang lebih bertakwa. Sesungguhnya Allah maha mengetahui, lagi maha mendalam pengetahuanNya.’
DALAM Islam faktor memilih kawan amat dititikberatkan. Hubungan persahabatan adalah hubungan yang sangat mulia, kerana kawan atau sahabat berperanan dalam membentuk personaliti individu. Ada kawan yang sanggup bersusah-payah dan berkongsi duka bersama kita, dan tidak kurang juga kawan yang nampak muka semasa senang dan hanya sanggup berkongsi kegembiraan sahaja. Ada juga yang mampu menjerumuskan kita ke lembah kehinaan.
Pendek kata sahabat boleh menentukan corak hidup kita. Justeru, jika salah pilih sahabat kita akan merana dan menerima padahnya. Selari dengan hadith Rasululah saw yang bermaksud:
“ Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya” (H.R Abu Daud).
Bak kata pepatah Arab,
“ Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita.”
Apakah ciri-ciri seorang sahabat yang baik? Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya: “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:
* Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu;
* Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu;
* Jika engkau memerlu pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu;
* Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik;
* Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu;
* Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya;
* Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya;
* Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menayakan kesusahan kamu;
* Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu;
* Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu;
* Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu;
* Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.
* Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat
* Dia mendorongmu mencapai kejayaan didunia dan akhirat.
Sebagai perantau yang terlepas daripada pandangan ayah ibu berhati-hatilah jika memilih kawan. Kerana kawan, kita bahagia tetapi kawan juga boleh menjahanamkan kita.
Hati-hatilah atau tinggalkan sahaja sahabat seperti dibawah:
Sahabat Yang Tamak: ia sangat tamak, ia hanya memberi sedikit dan meminta yang banyak, dan ia hanya mementingkan diri sendiri.
Sahabat Hipokrit: ia menyatakan bersahabat berkenaan dengan hal-hal lampau, atau hal-hal mendatang; ia berusaha mendapatkan simpati dengan kata-kata kosong; dan jika ada kesempatan membantu, ia menyatakan tidak sanggup.
Sahabat Pengampu: Dia setuju dengan semua yang kamu lakukan tidak kira betul atau salah, yang parahnya dia setuju dengan hal yang tidak berani untuk menjelaskan kebenaran, di hadapanmu ia memuji dirimu, dan di belakangmu ia merendahkan dirimu.
Sahabat Pemboros dan Suka Hiburan: ia menjadi kawanmu jika engkau suka pesta , suka berkeliaran dan ‘melepak’ pada waktu yang tidak sepatutnya, suka ke tempat-tempat hiburan dan pertunjukan.
3. MASA LAPANG
Cara kita mengisi masa lapang juga terkadang mempengaruhi perbuatan kita. Misalnya mengisi waktu yang sia-sia dengan hiburan semata adalah lebih merosakkan. Lebih baik sekiranya kita beriadah.
Apa saja perbuatan yang tidak mendatangkan manfaat, membuang masa, hendaklah kita jauhi. Kawal diri dari segala perbuatan yang menyia-nyiakan waktu, seperti membaca majalah-majalah lucah, gambar-gambar mengghairahkan, pemikiran-pemikiran yang merosak, buku-buku yang menyesatkan atau novel-novel yang mengetepikan nilai-nilai mulia.
Kalau hendak membaca maka bacalah bahan-bahan bacaan yang bermanfaat, seperti majalah-majalah islam dan jurnal-jurnal yang bermanfaat di dunia dan akhirat. Sesetengah buku dan artikel yang dapat menciptakan keraguan dalam hati dan penyimpangan. Semua itu pengaruh budaya-budaya tidak sihat yang menceroboh masuk ke dalam persekitaran kita. Jadi, jangan biarkan diri kita dihancurkan oleh tangan kita sendiri.
Mungkin banyak lagi faktor yang dapat mempengaruhi tindak tanduk kita tapi buat masa ini hanya ini yang mampu saya huraikan.
Kepada rakan, kawan atau sahabatku yang sudah agak “tergelincir” dari landasan awal. Pulanglah... ALLAH akan sentiasa mengampunkan hamba-hamba-Nya yang berdosa. Dan kepada yang mempunyai kawan yang agak teralpa, serulah mereka. Mereka perlukan teguran dan nasihat. Jangan membiarkan kawan-kawan kita hanyut.Bertindaklah selagi belum terlambat.
Dan sebagai ikhtibar diri, jagalah iman dan pantaulah pergaulan anda. Semoga Allah merahmati kita di dunia dan akhirat.
RUJUKAN
Apa Ertinya Saya Menganut Islam? - Fathi Yakan-
Motivasi Menjadi Wanita Paling Bahagia – Dr ‘Aidh Abdullah Al-Qarni-
http://id.wikipedia.org/wiki/Iman
http://members.tripod.com/abu_fatih/Iman.htm
http://www.geocities.com/Athens/Parthenon/5352/malu.htm
http://www.rediesh.com/artikel/sahabat-menuju-islam