Pejam celik, pejam celik sudah hampir 4 tahun saya berada di bumi Malang. Segala pahit manis dan suka duka telah dilalui sebagai seorang pelajar perubatan. Di Universitas Brawijaya ini kami diajar dengan menggunakan sistem teori dan klinikal, dimana kami perlu menghabiskan teori kami selama 4 tahun dengan jam kredit sebanyak 148. Syukur saya sudah sampai sejauh ini.
Besok bakal bermulalah Peperiksaan Terakhir untuk semester teori terakhir. InsyaAllah, dua minggu akan datang lengkaplah sudah perjuangan selama empat tahun, belajar dan mengatur strategi untuk berperang di gelanggang peperiksaan bertulis. Selepas ini tanggungjawab yang lebih berat bakal digalas. Khuatir jika bahu ini tidak sekuat dan segagah mana untuk membawa amanah yang menggunung ini.
Waktu klinikal bukanlah lagi waktu untuk bergurau senda dan bercanda tawa. Ia waktu yang patut dimanfaatkan sepenuhnya. Kalau selama ini teori hanya mengajar kita fakta dimana 1+1=2 tetapi kini latarnya berbeza, 1+1 mungkin =3 atau 1+1 mungkin=0. Aplikasi ilmu yang memerlukan ketekunan dan kesungguhan. Jika teori dulu umpama larian pecut (sprint) tapi klinikal adalah ibarat marathon. Di kala belajar teori, mungkin ramai di kalangan kita yang suka belajar "last minute", tapi klinikal memerlukan kesungguhan dari awal hingga akhir. Perlukan kepada istiqamah. Kaki harus kuat untuk berlari, badan harus siap bekerja. Jangan lesu di tengah perlumbaan. Tujuan terakhirnya bukan siapa yang sampai dulu di garisan penamat, tapi yang utama ialah untuk sampai ke garisan penamat.
Senggang waktu dua bulan liburan harus dimanfaatkan sebaik-baiknya sebagai persiapan bertempur di medan jihad.Medan yang dinamakan "rumah sakit". Bertemu pesakit dengan keyakinan dan motivasi yang tinggi. Ilmu yang terbuku di dada harus diaplikasi kepada gelanggang sebenar. Pesakit adalah guru yang terbaik untuk kita.
Sekadar ini sahaja cetusan idea selama 20 minit. Perlu sambung menjengah nota-nota untuk ujian Forensik besok. Doa-doakanlah kejayaan saya dan teman-teman yang lain.
Wassalam..