rss
twitter

KOC WANITA

Alhamdulillah saya sudah selamat sampai ke KL hari sabtu lepas. Segalanya berjalan lancar. Setelah dua hari berehat di rumah tanpa aktiviti "outdoor", saya pun memetuskan semalam untuk ke Mid Valley Megamall dengan menaiki komuter. Dah ada koc wanita sekarang ni. Koc wanita ni terletak di gerabak tengah. Sekiranya komuter tu ada 3 gerabak, koc wanita terletak di bahagian tengahnya. Bagus idea ni sebenarnya, tiadalah lagi para wanita yang terpaksa bersesak di kalangan lelaki yang suka mengambil kesempatan.


Tapi malangnya, ada juga segelintir dari penumpang yang tak memahami ayat KOC WANITA, WANITA SAHAJA SEPANJANG MASA. Saya rasa perkara ini berlaku disebabkan oleh 3 perkara:
1. Penumpang lelaki yang tak reti membaca dalam bahasa Melayu atau Inggeris (gambar tu pun patutnya dah cukup memahamkan)
2. Penumpang lelaki yang kurang rasa malu dan segan. (muka tak tahu malu).
3. Penumpang perempuan yang tak faham bahasa. Dengan sengaja membawa suami/teman lelaki naik bersama2nya di dalam koc wanita. Sungguh memalukan dan tiada tatasusila dan kesopanan (tolonglah naik gerabak 1 dan 2 tu..)

Pengwujudan koc wanita ini adalah suatu langkah yang bijak. Bagi saya yang pernah menggunakan perkhidmatan komuter pada waktu puncak, situasinya amat tidak menyenangkan bila dikelilingi lelaki2,ada saja bau yang tidak menyenangkan, tangan yang merayau2 mencari kesempatan dan macam-macam lagi. Memang amat tidak menyelesakan. Namun, sekadar mengadakan sesuatu tapi tidak menguatkuasakan dengan serius menunjukkan ketidakmatangan perancangan pihak komuter. Benarlah, jika dikatakan rakyat Malaysia ni hanya "hangat-hangat tahi ayam". Awal2nya rajin. Lepas itu sudah malas nk memastikan apa yang dirancang berjalan seperti yang sepatutnya. Bukan pihak KTM berhad sahaja harus dipersalahkan tapi juga kepada para penumpang. Lelaki maupun perempuan. Kalau yang si lelaki, sedar diri dulu anda itu lelaki dan tidak seharusnya berada di gerabak itu dan untuk si perempuan, kalau agak2 dah nak naik komuter bersama dengan suami/teman lelaki, silalah guna gerabak selain koc wanita ini.

Di bawah ini adalah bentuk2 soalan dan jawapan yang saya peroleh dari KTMB:

1.Siapakah yang boleh menaki Koc Wanita?
Wanita dari pelbagai peringkat usia sahaja. Kanak-kanak lelaki berumur kurang daripada 12 tahun yang membuat perjalanan bersama pengiring / saudara wanita dibenarkan menaiki koc ini.

2.Apakah yang boleh dilakukan jika terdapat penumpang lelaki menaiki Koc Wanita ini?
Kerjasama semua pihak amat kami perlukan. Dengan cara yang berhemah, anda perlu memaklumkan dan meminta penumpang lelaki tersebut menaiki koc biasa.
Jika pintu tren telah tertutup dan tren bergerak, penumpang lelaki tersebut boleh turun dan berpindah ke koc biasa di stesen berikutnya.

3.Jika bersama keluarga / pasangan / rakan, apakah pilihan yang boleh anda lakukan?
Anda mempunyai pilihan berikut:
i. Menaiki koc biasa (iaitu koc hadapan dan belakang) bersama-sama keluarga / pasangan / rakan; atau
ii. Ahli keluarga / pasangan / rakan wanita serta kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun ke bawah boleh menaiki Koc Wanita. Manakala ahli keluarga lelaki / pasangan / rakan lelaki boleh menaiki koc biasa (berpisah sementara).

4.Bilakah Koc Wanita boleh dinaiki oleh semua penumpang?
Koc Wanita akan bertukar menjadi koc biasa dan boleh dinaiki semua penumpang apabila berlaku insiden atau kelewatan yang teruk ke atas perkhidmatan KTM Komuter.
Pengesahan pertukaran Koc Wanita kepada koc biasa akan dapat diketahui oleh penumpang melalui makluman daripada pemandu tren atau petugas di stesen atau platform, dan melalui pengumuman siar raya di stesen.

Akhir kata, tingkatkan kesopanan dan jadilah bangsa yang bertamadun. Prasarana sudah jauh ke hadapan tapi janganlah minda jauh tertinggal di belakang.

0 comments:

Post a Comment